Rabu, 20 Jun 2012

Nak jadi macam ayah!!

"Akhirnya jumaat ritu aku mengalah pada keadaan diri. Letak tepi kedegilan tak nak duduk wad selama ini. Nak angkat jari pun rasa tak larat. Masuk ubat tahan sakit, tahanlah untuk beberapa ketika. Sempat la balas beberapa sms dan jamah sedikit rezeki. Lepas tu layu balik. Maka jalan selamatnya, duduk wad. 4 jam sekali nurse bagi ubat anti-nausea. Janji doktor sekurang-kurangnya sampai BP aku stabil, degup jantung kembali sekata dan demam aku kebah, baru boleh balik rumah. Alhamdulillah, everything is coming up roses. Semoga aku dapat bertahan sampai habis cycle ni.

Mata tak boleh lelap, walaupun seluruh badan yang terasa sakit ni minta sangat untuk direhatkan. Dah cuba kosongkan fikiran, jangan fikir banyak-banyak. Puas juga berzikir yang mudah-mudah, dengan harapan akan terlena. Sudahnya nota kecil ini jugalah senjata terakhir aku untuk melelapkan mata. Harap-harap akan bosan dengan ayat sendiri. Harap-harap juga mata yang makin layu ni bertambah layu bila melihat tulisan aku yang semakin hodoh. Menulis dalam kepayahan..

Waktu-waktu beginilah aku sangat rindukan Ayah. Sangat perlukan bebelan ayah. Sangat rindu nak mengadu nasib ngan ayah. Sangat rindu berbahas bahasa inggeris dengan Ayah. Sangat rindu kalah main carom dengan Ayah. Dan sangat rindu untuk bersandar di bahu Ayah. Barangkali anak Ayah ni bakal melalui hari-hari akhirnya seperti Ayah juga..kerana aku mewarisi penyakit yang sama. Kalau begitu takdirnya nanti, maka tertunailah hasrat yang selalu aku suarakan pada Ayah setiap kali dia bertanya aku nak jadi apa masa sekolah dulu:

 "Ayul nak jadi macam Ayah!"

Siang tadi aku melihat lagi medical timeline aku. Dari mula diagnosis relapse, hinggalah infusion ketiga semalam. Dan untuk yang entah ke berapa kalinya, aku tanyakan lagi prognosis aku, dengan harapan akan ada perubahan positif pada jangkaan mereka. Kadang-kadang aku lebih rela mendengar harapan palsu daripada kebenaran yang sangat menyakitkan. Kalau pun tak dapat melihat harapan itu, sekurang-kurangnya biarlah aku dapat merasa bahawa harapan masih ada. I'm ready to die..but I could live in hope.

Elok juga sebenarnya sekali-sekala bersendiri dalam sepi begini. Muhasabah diri. Menginsafi diri dan merasakan kebesaran Allah. Mudah-mudahan terbuka jalan menuju taqwa. Bernafas dalam doa dan mendengar degup jantung sendiri..supaya lebih menghargai satu jasad dan satu roh yang Allah pinjamkan kepada aku. Kerana aku tak tahu bila pula sampai masanya nanti aku akan terlantar terus dan tak mampu lagi untuk bercerita sebegini.

Akhirnya terlena juga..

Aku berdoa ini treatment cycle terakhir aku. Kalau boleh tak nak dicucuk lagi. Tak nak masuk ke bilik tu lagi. Tak nak tersandar di kerusi tu lagi. Tapi kalau ini sahaja caranya untuk terus bertahan, nak buat macam mana kan..terima. Ya Allah, aku tahu Kau Maha Mendengar. Kerana itu aku tak akan putus berdoa. Teguhkan imanku hingga ke akhirnya..

Tiada ulasan: