Isnin, 12 September 2011

Sahabat Lama

Bila aku jumpa huda yang rasanya dah 7tahun aku tak jumpa semalam aku mula terfikir :-

Dalam dunia ini kita tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri. Tetapi dalam kita bersendirian, kita beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami kita. Sebagaimana kita mengharapkan keiklasan dan kejujuran seorang sahabat, begitulah juga dia. Tetapi kita sering terlupa akan hal itu. Cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kita. Kita rasa dikhianati bila dia tidak menepati janjinya. Kita tidak memberi dia peluang untuk menerangkan keadaannya. Bagi kita, itu alasannya untuk menutup kesilapan dan membela diri.

Kita juga pernah membiarkan dia ternanti-nanti kerana kita juga ada janji yg tidak ditepati. Kita beri beribu alasan memaksa dia terima alasan kita. Waktu itu, terfikirkah kita perasaannya? Seperti kita, dia juga tahu rasa kecewa. Tetapi kita sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa memahami, yang selalu berada disisi pada waktu kita memerlukannya.

Dia mendengar luahan perasaan kita,segala rasa kecewa dan ketakutan. Harapan dan impian juga kita luahkan.. Dia memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kita terlalu asyik menceritakan tentang diri kita hingga Kadang-kadang kita terlupa sahabat kita juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.

Pernahkah kita memberi dia peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangnya,rasa takutnya? Pernahkah kita menenangkan dia sebagaimana dia pernah menyabarkan kita. Ikhlaskah kita mendengar tentang kejayaan dan berita gembiranya? Mampukah kita menjadi sumber kekuatannya sepertimana dia meniup semangat setiap kali kita rasa kecewa dan menyerah kalah?

Khamis, 19 Mei 2011

Dia sentiasa dekat

Segala pujian hanyalah milik Allah..

Sebagai manusia biasa, yang mempunyai tahap iman yang grafnya sentiasa naik & menurun, terkadang tatkala iman sedang sakit, kita selalu terasa lemah & kerdil. Waktu itu, hati sangat sensitif kan..?

Seakan dunia ini kosong, sunyi & sepi..

Wahai diri...
Renungilah kata-kata ini..
Saat kita merasakan seluruh dunia menjauh daripada kita, sebenarnya masih ada yang selalu ada setia di sisi kita. Saat kita merasakan semuanya membenci kita, sebenarnya masih ada yang setia mencintai kita. Saat kita bersedih & merasakan tiada siapa yang mempedulikan rasa sakit, perit & sedih itu, sebenarnya ada sudi menjadi pendengar setia rintihan kita.

Dialah Allah. Tuhan Yang Sangat Mencintaimu, selalu setia ada di sisimu, susah & senang, lapang & sempit, gembira & sedih.Saat rasa takut, sedih, perit, resah & sempit. Letakkanlah tanganmu & tepuklah lembut bahumu.. Maka, katakanlah 

"Jangan risau, kau tidak keseorangan... Engkau masih ada Allah... Cukuplah Allah bagiku kerana Allah-lah sebaik2 penolong & pelindung.. Aku masih ada Allah.. Aku masih ada ALLAH.."

Namun, adakalanya mengapa kita merasakan Allah begitu jauh? Sedangkan Dia terlalu dekat dengan kita?

Kerana kitalah yang MENJAUHKAN diri daripadaNya...
Kerana kita TIDAK SEPENUHNYA PERCAYA kepada Dia.
Kita TIDAK SEPENUHNYA BERDOA, BERHARAP & BERTAWAKAL dengan bersungguh-sungguh kepadaNya.
Masih ada TERLALU BANYAK ruang di dalam hati kita untuk MANUSIA, untuk DUNIA.
Kita TIDAK SEPENUHNYA MELETAKKAN PERGANTUNGAN DIRI hanya kepadaNya..

Kerana itulah kita merasakan Dia itu terlalu jauh, asing, & masih tidak mencukupi untuk memenuhi ruang hati & hidup kita. Firman Allah SWT :

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku sangat Dekat. Aku Kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka memenuhi (perintahKu) & beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran." 
[Al Baqarah, 2: 186]

Ketahuilah bahawa dirimu tidak pernah keseorangan, kesepian, kehilangan...
Kerana kegagalan, kesepian & kehilangan yang sebenarnya ialah apabila kita gagal membina hubungan dengan Allah. Kehilangan yang sebenarnya ialah apabila tali yang menghubungkan kita dengan Allah itu telah terputus. Pada ketika itulah benar-benar sudah tiada makna lagi kehidupan kita ini..

Bawalah hatimu yang retak, sakit & kosong itu kepada Tuhan... Pastilah Dia akan selalu Meraikan kehadiran hambaNya..Tunaikanlah solat ketika kamu berbicara dengan Allah & bacalah Al-Quran serta fahami maknanya untuk mendengar bicara Allah kepadamu..

"Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata:
"Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." 
[2: 155-156]

Genggamlah tali pergantunganmu kepada Allah dengan sekuat-kuatnya. Nescaya Dia akan Memegang kuat hatimu itu.Hati yang penuh dengan mahabatullah pasti akan lebih dekat dengan akhirat kerana begitu tidak sabar menanti untuk bertemu dengan si Dia yang Tercinta. & sesungguhnya, hati yang benar-benar terarah kepada akhirat pastilah tidak akan sewenang-wenangnya terpengaruhi & dikaburi oleh godaan duniawi..

Tanpa Allah di sisi kita, tiada satu apapun yang dapat kita lakukan. Dengan adanya Allah di sisi kita, tiada satu apa pun yang tidak mampu kita lakukan, insyaAllah.Janganlah merasakan Allah itu jauh kerana Dia amatlah dekat. Maka, mulakan langkah untuk mendekatiNya!

Rabu, 18 Mei 2011

Dugaan..

Kehidupan tidak pernah lekang dengan perkataan “dugaan”. Apabila datang dugaan dalam kehidupan,manusia sering kali mengeluh,tertekan dan sehingga sampai satu tahap hilang kawalan diri. Ketahuilah kalian bahawa seandainya dugaan itu kita terima dengan hati yang redha terlalu banyak hikmah dan manfaatnya disebalik dugaan yang menimpa diri.Seringkali diri ini juga lupa akan hakikat dan hikmah dugaaan itu sendiri. Firman ALLAH SWT dalam kitab hikmahNya:


“ Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Dia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan dia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”(2:286)


Jadi,sangat jelaslah disini bahawa ALLAH SWT tidak pernah menimpakan suatu ujian,dugaan mahupun cabaran diluar batas kemampuan hamba ciptaanNYA. Siapa kita utk mengatakan ujian,dugaan dan cabaran itu diluar kemampuan kita kerana sesungguhnya yang menciptakan kita itu bukannya diri kita sendiri akan tetapi Tuhan sekalian alam iaitu ALLAH SWT. Sungguh DIA lebih mengenali diri kita daripada diri kita sendiri.


Jadi,tanamkanlah dalam diri mulai saat ini bahawa ujian ALLAH itu tanda kasih dan sayang dari ALLAH kerana itu bermakna ALLAH ambil tahu dan peduli dengan diri kita. ALLAH menguji kita sebenarnya adalah utk mengukur sejauh mana tahap iman kita sebenarnya. Hadapilah ujian dan dugaan dari ALLAH dengan keimanan,ketakwaan dan kesabaran. Moga-moga kita sentiasa berada dibawah payung rahmat,redha dan kasih sayangNYA. Mari sama-sama kita amalkan doa ini:


(Mereka berdoa dengan berkata): Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir.(2:286)

Sama-samalah kita bina kekuatan di dalam diri kita, apabila bermacam-macam dugaan datang didalam hidup kita, kerana Allah dekat dengan kita dikala ujian itu datang, jika kita mengingati NYA.

Itu lah kata-kata motivasi untuk diri sendiri saat diri menjadi lemah dengan dugaan melanda.Menjadi salah seorang penghidap tumor otak membuatkan hidupku terasa amat mendukacitakan...Namun aku bersyukur ia merupakan ketumbuhan benign(lambat tersebar) dan dr dapat mengesannya awal.Aku perlu mengatur langkah drastik untuk merawatnya.Semoga Allah memberiku jalan kesembuhan nanti..

Isnin, 9 Mei 2011

10 LANGKAH MENGHINDARI KANSER







1. Jangan Merokok @ Berhenti Merokok
Merokok adalah tidak baik untuk kesihatan. Ianya telah diketahui merupakan salah satu risiko kepada Kanser Paru-paru. Selain dari itu ianya juga boleh meningkatkan risiko banyak lagi jenis kanser yang lain. Kita juga perlu mengelak dari menjadi perokok sekunder (iaitu orang lain yang merokok tetapi kita juga menghisap asapnya)

2. Jaga Kulit Dari Pendedahan Kepada Matahari
Kanser kulit sekarang ini semakin meningkat insidennya. Salah satu puncanya ialah pendedahan secara langsung kepada cahaya matahari yang terik. Pakailah 'sun-blocker' @ 'Sun-screen' apabila kita keluar dari rumah atau pejabat. Ketahui 'tahi lalat' dan bintik-bintik hitam yang ada pada kulit kita. Berjumpalah dengan doktor sekiranya terdapat perubahan kepada 'tahi lalat' atau bintik hitam tersebut.

3. Makan Banyak Sayur-sayuran & Buah-buahan
Kebanyakkan Sayur-sayuran & buah-buahan mengandungi anti-oksidan. Ia dapat membantu memperbaiki sel-sel yang telah rosak.

4. Kurangkan Makan Daging Terutamanya Daging Yang Disalai
Penyelidikan menunjukkan makanan yang kaya dengan lemak haiwan boleh menyebabkan penyakit kanser. manakala memakan daging yang disalai pula akan meningkatkan risiko faktor kanser.

5. Jangan Minum Arak
Meminum arak atau alkohol akan meningkatkan risiko kanser. Antara kanser yang dikaitkan dengan tabiat minum minuman keras ini adalah kanser hati.

6. Bersenam
Sekiranya anda gemuk atau berat badan anda berlebihan (overweight) ianya juga didapati akan meningkatkan risiko mendapat kanser. Adalah baik sekiranya anda dapat menjaga berat badan dengan melakukan senaman secara 'regular'.

7. Ketahui Sejarah Penyakit Kanser Dalam Keluarga
Anda memang digalakkan untuk mengambil tahu sejarah penyakit kanser dikalangan keluarga anda sendiri. Dengan mengetahui sejarah penyakit, anda akan dapat mengetahui jenis kanser yang menjadi risiko kepada diri anda. Dengan itu pemeriksaan awal dapat dilakukan.

8. Ketahui Pendedahan Kepada bahan Kimia Di Tempat Kerja
Sekiranya anda terdedah kepada bahan kimia semasa anda bekerja, anda patut mengetahui apakah bahan kimia yang terlibat. Gasoline, diesel, arsenik, beryllium, nickel kromat dan banyak lagi telah diketahui adalah karsinogenik. Sesetengah daripada bahan-bahan tersebut dikehendaki untuk anda melakukan pemeriksaan tahunan. Bincanglah dengan majikan anda bagaimana hendak mengurangkan pendedahan terhadap bahan-bahan yang karsinogenik itu.

9. Amalkan Seks Selamat
Seks yang selamat ialah seks dengan suami atau isteri sendiri. Selain dari itu semuanya tidak selamat. Jangkitan virus seperti HPV viral boleh menyebabkan kanser pangkal rahim.

10. Lakukan Pemeriksaan Doktor & Ujian Makmal Secara Berkala.
Pemeriksaan oleh doktor & ujian makmal seperti 'Pap smear', pemeriksaan buah dada secara manual & mammogram (untuk wanita), pemeriksaan rektal (untuk lelaki) dapat membantu pengesanan awal. Adakalanya sebelum sesuatu ketumbuhan itu menjadi kanser. Selain dari itu pemeriksaan darah seperti 'tumour marker' juga dapat membantu.

Khamis, 14 April 2011

arghhh tension!!


لسلام عليكم ورحمة الله وبركاته 


diam tak diam da hampir suku sem berlalu...lately niyh banyak kali aku dipersalahkan..ada kelas pun salah..takder kelas pun salah..yang lec pun satu hal...nape tak bgtau jer wakil kelas si tett tu...nape mesti call or msg aku .hurm..bukan terkecit ati lagi dah...bengkak jer rasa hati niyh..dua tiga ari ni pun rasa payah nak bernafas..dada rasa semput padahal takder semput pun..so ignore je jalan paling baik..dalam diam2 makan hati...alahai sakit pulak hati kita ni..susah nak puaskan hati orang...semalam aku men blah jer dari kelas geotechnic..malas da..tak boleh nak tahan da marah..pastu ponteng kelas petang..minggu niyh jer da berkali2 ponteng...badan rasa tak semangat jer..nak lari je dari semua niyh..gelak2 gak tp dalam hati Tuhan je yang tau...marah benar pasal assignment aku hilang..da pinjam tak reti nak hantar balik..sudahnya aku gak yang kene..semalam pala hayal jer..jalan tak pandang kiri kanan..nyaris arwah nak kene langgar ngan van.terperanjat dibuatnya..bukan terperanjat bub van tu..tp tperanjat bila dengar budak2 niyh jerit ..tak terluah kata..betapa hati ni terluka..fikiran pun tah kemana..nak luahkan tp tak cara yang paling bek..so membebel la ape lg..kat fb tu men post sana, post sini..lantak lah..ape lah yang patut aku buat supaya assignment aku tak dipinjam, jawapan aku tak di copy..hurm...tension2... 

Isnin, 4 April 2011

Kalah pada emosi,,,


بسم الله الرحمن الرحيم



Hari ni aku emosi. Hari ni aku melampaui batas. Hari ni aku buat perangai bodoh, marah orang tak tentu pasal. To make it worse, melepaskan marah kepada orang yang tak sepatutnya. Sahabat-sahabat yang sangat baik dan selalu tolong aku. Sungguh, kalaulah mereka terbaca post ni, aku harap kalian tahu betapa aku rasa bersalah sangat-sangat dengan perangai bodoh, mengada-ngada dan tak masuk akal aku tadi.

Aku pun tak tahu kenapa aku perlu rasa kecik hati dengan diorang tadi. Tak ada salahnya pun kata-kata mereka. Lepas solat tadi aku muhasabah diri. Yang salah cuma aku. Entah kenapa la cepat sangat nak terasa hati dengan orang 2-3 hari ni. Kat rumah pun begitu. Banyak benda yang tengah bermain dalam kepala, banyak hati yang perlu dijaga, banyak hal yang perlu ditimbang dan memerlukan aku membuat keputusan segera. My body literally can't handle the stress. Aku tak nak jadikan sakit dan ubat sebagai alasan, walaupun itu antara faktor penyumbang, kerana semuanya berbalik kepada aku juga. Sedarlah diri, orang lain pun sakit juga, orang lain lagi besar masalah hidupnya.

Aku patut bersyukur, dan memang sangat-sangat bersyukur dikelilingi sahabat-sahabat yang sangat memahami. Aku harap perangai buruk aku hari ni tak dianggap sebagai mengambil kesempatan kerana keadaan diri aku dan di atas kebaikan orang pada aku. Maafkanlah aku yang kadang-kadang tergelincir lidah dan terlepas laku kerana turutkan emosi.

Esok kene buat rawatan. Tu pun satu hal juga.kalau ikutkan hati memang aku tak nak dah pi sana(hospital) lagi..apetahlagi nak ajak teman. Aku lebih selesa dan suka melalui prosedur tu sendirian. Aku rasa lebih kuat kalau aku tak tengok wajah-wajah yang aku kenal sepanjang masa rawatan tu, mendengar lawak tak kelakar mereka untuk buat aku lupakan kesakitan dan melihat mereka tertidur di luar sementara menunggu aku. Sebab semua tu hanya akan buat aku lebih sedih. Sedih tengok mereka dan sedih dengan diri aku sendiri. InsyaAllah, aku masih punya ketabahan untuk menempuhi kesakitan tu sendirian. Tapi, sampai masa nanti ketabahan tu hilang, aku akan sentiasa perlukan kekuatan genggaman tangan kalian untuk menghadapinya.

Akhirnya, buat sahabat yang aku sakiti hari ni, maafkan aku. Aku cuba tak mengulangi perangai bodoh aku tu lagi. Berfikir secara waras, dengan iman yang ada. Kalian sangat banyak membantu sampai aku jadi malu dan mulut terasa berat untuk meminta apa-apa lagi. Aku doakan sahabat-sahabatku sentiasa dalam perlindungan Allah, diberi nikmat sihat untuk bekerja dan beribadah, mencari dunia dan akhirat. You never know what kind of difference a little encouragement can make to a person. Forgive me body and soul.





Sabtu, 2 April 2011

Barah Otak (Brain Tumor)-sedikit perkongsian

PENGENALAN

Penyakit tumor otak merujuk kepada sebarang jisim yang terhasil akibat ketumbuhan luar biasa atau pertumbuhan luar kawal sel yang terdapat pada otak (neuron, sel glial, sel epithelial, sel penghasil myelin dan sebagainya.) atau sel tumor yang merebak (metastasis) dari tempat lain. Tumor otak biasanya terletak di posterior ketiga otak pada kanak-kanak dan dua per tiga anterior otak pada orang dewasa.

Tumor otak termasuk semua ketumbuhan di dalam tengkorak atau di dalam saluran tunjang pusat. Mereka dicipta oleh pembahagian sel yang tidak normal dan tidak terkawal, biasanya dalam otak itu sendiri, tetapi juga dalam tisu limfa, dalam saluran darah, saraf kranial, dalam sampul surat otak (meninges), tengkorak, kelenjar pituitari, atau kelenjar pineal.

Tumor otak boleh juga merebak terutamanya di organ-organ lain (tumor metastatik).Mana-mana tumor otak memang serius dan mengancam nyawa kerana sifat invasif dan infiltrative dalam ruang yang terhad dalam rongga intrakranial.Walau bagaimanapun, tumor otak (walaupun malignan) tidak selalunya membawa maut, terutamanya lipomas yang sememangnya rendah.

Tahap ancaman bergantung kepada gabungan faktor-faktor seperti jenis tumor, lokasi, saiz dan kawasan yang yang terlibat dengan aktiviti pertumbuhan sel kanser itu sendiri. Disebabkan otak juga dilindungi oleh tengkorak, maka pengesanan awal tumor otak berlaku hanya apabila alat diagnostik disasarkan pada rongga intrakranial. Biasanya pengesanan berlaku secara berperingkat-peringkat apabila kehadiran tumor telah menyebabkan gejala tidak dapat dijelaskan.Ketumbuhan otak biasanya terletak di lekuk tengkorak (posterior) pada kanak-kanak dan dalam (anterior) dua pertiga daripada hemisfera serebrum di kalangan orang dewasa.







TANDA-TANDA DAN GEJALA BARAH OTAK (SIGNS AND SYMPTOMS OF BRAIN TUMOR)


1. Sakit kepala yang teruk di waktu pagi berbanding tengah hari.

( Dari Pengalaman : Biasanya dalam jam 5 hingga 8 pagi itu lah sakit kepala aku tu datang menyerang sampai lah jam 11 lebih)

2. Gangguan penglihatan.

( Dari Pengalaman : kabur penglihatan atau pandangan kelam terjadi akibat tekanan yang berlebihan dihadapi pesakit atau saat diserang sakit secara tiba-tiba kesan penyakit tumor otak )

3. Sakit kepala menjadi lebih teruk ketika batuk, bersin atau menunduk.

( Dari Pengalaman : merasakan seolah-olah urat kepala hampir putus atau pecah)

4. Gangguan percakapan

( Dari Pengalaman : berlaku masalah pertuturan dimana pesakit mengalami masalah untuk menutur atau menyebut dengan jelas sesuatu perkataan. Kadang-kala pertuturannya yang agak pelik disedari oleh orang disekeliling)

5. Kesukaran untuk menggerakkan kaki dan tangan.

( Dari Pengalaman : berlaku apabila pesakit diserang sakit yang keterlaluan sehingga mengalami kejang dan apabila keadaan semakin reda pesakit akan mengalami kesukaran untuk mengawal pergerakkan anggota badan)

6. Sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri.

( Dari Pengalaman : Berlaku apabila pesakit diserang sakit yang keterlaluan yang mungkin berpunca dari tekanan yang tidak dikawal dengan baik selain dari punca tumor otak itu sendiri)

7. Hilang ingatan ke atas hal-hal yang baru dan kemerosotan proses mental.

( Dari Pengalaman : Serius, benda ni mula mengganggu sejak akhir-akhir ini)


8. Hilang daya imbangan, lemah atau kebas badan.

( Dari Pengalaman : pesakit mudah jatuh akibat daya imbangan yang sukar dikawal seperti kaki yang terbengkok secara sendiri dan kadang-kadang pesakit terasa amat lemah untuk bangun)

9. Loya dan muntah-muntah.

( Dari Pengalaman : Memang perkara biasa terjadi sewaktu sakit tu datang menyerang sehingga ada masanya pesakit akan muntah darah akibat luka yang terhasil di dalam perut)



Jumaat, 1 April 2011

selamat datang ke dunia blogger


بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum...

Dengan nama Allah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.. Tertibnya, sebagai pengenalan seharusnya aku mengenalkan diri. Tapi aku cuma orang biasa-biasa,yang akan cukup gembira kalau suara hati ini dapat dikongsi dengan tetamu-tetamu yang sudi singgah ke blog ni..jenguklah sekali-sekala, kalaupun tidak meninggalkan jejak.

Apa yang akan tertulis seterusnya selepas ni, semuanya dalam perancangan Allah. Nak cuba melihat kehidupan dari sudut berbeza azamnya. Ada sebab kenapa Allah terbitkan matahari pada waktu pagi, cahayakan bulan pada waktu malam, munculkan pelangi selepas hujan. Mungkin kita tak peduli semua tu, tapi ada orang lain di sudut dunia ni amat perlukan cahaya tu untuk teruskan harapan. Apa yang biasa pada kita, kadang-kadang sangat indah pada mata orang lain. Dan aku percaya,
ada waktu-waktunya kita lebih perlukan sedikit harapan dari sepinggan makanan untuk teruskan kehidupan.

Rasa sedih yang tak terluah ni memanggilku untuk melakarkannya disini....semoga dukaku ini dihanyutkan pergi...aku perlu belajar tentang bagaimana menjadi seorang insan sebelum dipacakkan nisan...